KUALA LUMPUR - Keputusan Kerajaan Kelantan tidak melaksanakan hukum hudud adalah kerana tidak mahu Perlembagaan Negeri digantung sekali lagi seperti yang pernah dilakukan Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada sekitar 1977.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Negeri mengambil keputusan melaksanakan undang-undang tersebut secara berperingkat-peringkat.
"Langkah ini sebagai membawa seguni beras. Sekiranya tidak mampu membawanya, maka diambil secupak demi secupak hingga habis.
“Semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dahulu, beliau datang ke Kelantan dan beri amaran sekiranya hudud dilaksanakan, kerajaan pusat akan mengambil tindakan," katanya semasa pertemuan bersama hampir 130 blogers, di sini, kelmarin.
Katanya, walaupun Perlembagaan Negeri Kelantan pernah digantung Mageran, tidak semestinya bermakna hudud tidak boleh melaksanakan secara keseluruhan.
Mursyidul Am Pas itu berkata, sekiranya ketiadaan kuasa untuk melaksanakan undang-undang tersebut, maka tidak boleh ditinggalkan semua undang-undang berkenaan.
“Oleh itu, kita laksana hudud secara berperingkat dan Alhamdulillah, kaum Cina dan India turut menyokong langkah Pas,” katanya sebagai menjawab soalan penulis blog, Azizi Abdullah yang mendakwa semangat Pas menegakkan undang-undang jenayah Islam itu dilihat 'mengendur' selepas bersama Pakatan Rakyat (PR).
Terdahulu, Exco Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga seorang peguam, turut memberi respons terhadap soalan berkenaan dengan menegaskan bahawa undang-undang tersebut sudah diluluskan pada 1993 dan belum dimansuhkan.
"Bahkan ia juga telah mendapat perkenan Sultan Kelantan tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana ada halangan dan cabaran tertentu," katanya.
Menurutnya, pendirian pada ketika itu adalah memikirkan kemudaratan yang akan dihadapi Kerajaan Negeri sekiranya undang-undang itu dilaksanakan.
“Kita berfikir, kalau laksanakan hukum hudud, apa halangan dan cabarannya. Disebabkan itu, kita tidak laksanakan hukum hudud secara keseluruhan.
“Tetapi ia tetap dilaksanakan dalam bentuk lain,” katanya.
Takiyuddin berkata, walaupun tidak dilaksanakan, undang-undang kecil yang lain dapat dilaksanakan, terutama dalam kes jenayah seperti mencuri, bunuh, merompak.
“Pelaksanaan tersebut sudah menjadi undang-undang dan masih berjalan,” katanya.
Kredit : http://www.sinarharian.com.my/
Found an article helpful? Donate via Paypal
Politik
Add your comment Hide comment