-->

Industri seni sememangnya tidak pernah sunyi dengan kehadiran bakat-bakat baru sama ada dicungkil melalui program realiti mahupun diperkenalkan melalui syarikat rakaman.

Qua Anwary antara nama baru yang kini mengintai peluang untuk dikenali sebagai penyanyi bergenre balada.

Sekali pandang pada gaya dan wajah Qua, pasti ada yang menyamakannya dengan penyanyi dari Singapura, Alif Aziz. Saat diajukan apakah dia klon Alif Aziz, Qua pantas menolak kerana dia dan Alif Aziz membawa genre muzik yang berbeza.

“Memang ada yang menegur mengatakan muka dan gaya saya seperti Alif Aziz, tetapi ia mungkin hanya satu kebetulan kerana saya dan Alif Aziz jauh bezanya. Lagipun Alif Aziz sudah dikenali, jadi siapalah saya untuk dibandingkan dengannya,” jelas Qua.

Menurut Qua atau nama sebenarnya Mohd Aqwa Anwari Ab Rahman, dia kini sedang sibuk menyiapkan album sulungnya yang mengandungi 10 buah lagu.

“Sembilan lagu sudah siap dirakamkan, hanya tinggal lagu Menaruh Harapan yang masih belum dirakamkan. Tujuh lagu di dalam album saya adalah lagu lama yang dinyanyikan semula manakala tiga lagi adalah lagu baru yang dicipta oleh Harry Khalifah,” katanya.

Antara tujuh buah lagu yang dinyanyikan semula adalah Patah Sayap Malam, Tiada Lagi, Senyumlah Kuala Lumpur, Dilema Rindu dan Menaruh Harapan.

Manakala Harry Khalifah bertindak sebagai komposer dan penulis lirik untuk tiga buah lagu baru iaitu, Cintaku Robihah, Kekasihku dan Cintaku Kasihmu Sayang.

Menariknya tentang jejaka berusia 19 tahun yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini, dia boleh menyanyikan lagu Siam dan Hindi dengan baik.

“Kelebihan saya berbanding dengan artis sedia ada sekarang mungkin daripada segi kebolehan saya untuk menyanyikan lagu Siam dan Hindi dengan baik.

“Malah jika album saya diterima baik, syarikat rakaman akan membuat satu projek khas untuk lagu berbahasa Siam atau Hindi,” jelasnya yang bernaung di bawah New Southern Records (NSR).

Kredit : http://www.sinarharian.com.my/

You Might Also Like:

Add your comment Hide comment

Hello, how may we help you? Just send us a message now to get assistance.

Facebook Messenger ×