-->

JEMPOL: “Saya memangku suami yang ketika itu nazak dan berlumuran darah di dada sebelum dia meninggal dunia,” kata Halimah Mat Yassin, 57, isteri Mokhtar Yusof, 71, yang maut dalam kejadian samun dan bunuh di Felda Palong 2, dekat sini, malam kelmarin.

Lebih memilukan, dalam kejadian jam 9 malam itu, Mokhtar dibunuh seorang daripada empat penjenayah berusia belasan tahun termasuk seorang cucunya yang menceroboh masuk ke rumahnya.
Halimah berkata, sebelum kejadian dia dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu teksi baru pulang dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah kerana melawat seorang saudara yang cedera dalam kemalangan.

“Sebaik sampai ke rumah dan membuka pintu saya nampak sebuah bilik berselerak seperti digeledah. Kami memeriksa satu lagi bilik sebelum melihat ada parang di situ.

“Saya bertanyakan suami kerana jika dia meletakkan parang di situ. Suami saya menafikannya, jadi kami mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Menurut Halimah, dia dan suami cuba memeriksa satu lagi bilik dan terkejut apabila melihat dua lelaki termasuk cucu mereka berada di dalam bilik itu.

“Saya menasihatkan cucu saya supaya tidak melakukan perkara buruk, namun tiba-tiba muncul satu lagi pasangan remaja di dalam bilik itu menjadikan mereka empat orang semuanya.

“Tanpa disangka, seorang daripada mereka menikam belakang badan suami saya sebanyak dua kali dan kejadian berlaku pantas hingga saya tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya.

Halimah berkata, suaminya rebah sebaik ditikam di dada dan darah memancut keluar hingga mengenai badan dan bajunya menyebabkan dia terkejut dan panik.

Halimah juga tidak menyedari tangan kanannya cedera dipercayai akibat dikelar kerana terlalu terkejut dengan kejadian itu.

Katanya, selepas melihat suaminya berlumuran darah, dia memangku suaminya dan menjerit meminta tolong menyebabkan jiran datang memberikan bantuan.

“Keempat-empat remaja itu melarikan diri bersama beg mengandungi wang tunai dan barang kemas.

“Saya tidak sangka mereka tergamak melakukan perkara ini,” katanya yang tinggal berdua dengan suaminya di rumah berkenaan.

Halimah berkata, walaupun sedih dengan kejadian yang meragut nyawa suaminya itu, dia reda dan menganggapnya sebagai suratan takdir.

Katanya, jenazah suaminya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 1, sebaik segala urusan bedah siasat selesai dilakukan hospital.

Kredit : http://www.hmetro.com.my/

You Might Also Like:

Add your comment Hide comment

Hello, how may we help you? Just send us a message now to get assistance.

Facebook Messenger ×