-->

Kemenangan Tolong Ingatkan Aku seolah-olah sudah menjadi isu besar kepada AJL25

BELUM pernah berlaku dalam sejarah penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) apabila penonton mula angkat kaki untuk pulang sebaik sahaja nama pemenangnya diumumkan oleh pengacara.

AJL adalah anugerah mencari lagu terbaik daripada yang baik. Lagu terbaik sudah tentu dihasilkan daripada pengkaryanya. Mungkin selama ini lagu terbaik turut disandarkan dengan populariti lagu serta penyanyinya juga menjadikan kemenangan lagu ciptaan dan nyanyian Ana Raffali menimbulkan tanda tanya.

Buat kali pertama juga terjadi apabila suasana penuh debaran itu ‘diboo’ penonton sebagai kurang puas hati dengan keputusan yang dibuat oleh juri yang sebulat suara memilih lagu hasil ciptaan dan nyanyian Ana Raffali berjudul Tolong Ingatkan Aku sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-25.

Itu belum masuk reaksi yang dilontarkan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter. Walaupun ada yang bersetuju dengan kemenangan gadis manis yang sering berbaju kurung itu, namun ramai juga yang tidak boleh menerima keputusan itu sehingga sanggup membuka sebuah halaman yang meminta kemenangan Ana itu ditarik balik.

Begitulah hebatnya AJL25 yang meraikan sambutan Jubli Peraknya tahun ini dengan penuh kontroversi apabila keputusan pemenangnya menjadi pertikaian. Walaupun perasaan tidak puas hati terhadap keputusan juri pernah berlaku sebelum ini namun ia tidaklah sehebat ini.

Sebaik saja keputusan diumumkan, ramai yang terpinga-pinga seolah-olah tidak percaya dengan keputusan yang diumumkan. Boleh dikatakan satu kejutan besar kerana lagu Tolong Ingatkan Aku itu bukanlah termasuk di dalam senarai ramalan antara lagu yang boleh dinobatkan sebagai juara.
Ramai yang kecewa dengan keputusan itu termasuk seorang individu yang boleh dikatakan amat berpengaruh dalam industri hiburan. Nampak sangat kemenangan itu tidak direstui ramai.

Apa keistimewaan lagu itu sehingga ia berjaya menidakkan keupayaan lagu lain untuk diangkat sebagai juara.

Ketua Juri AJL25, M Nasir ketika ditemui pada sidang media sejurus selepas acara itu berakhir, lagu Tolong Ingatkan Aku berjaya mengungguli pertandingan itu kerana lagu itu bersifat personal, ringkas dan ada rasa yang ingin disampaikan komposer yang juga si penyanyi lagu itu sampai kepada mereka.

"Lagu ini berjaya memikat hati juri kerana ia mempunyai elemen pembaharuan," kata Nasir mempertahankan pendirian juri.

Selain Nasir, juri yang terbabit adalah Amy Search, Habsah Hassan, Andy Flop Poppy, Pacai dan Acis.

Tegasnya lagi, adalah perkara biasa jika keputusan juri dipertikaikan kerana bukan mudah untuk memuaskan hati khalayak.

Andai pembaharuan yang dicari, apakah bentuk pembaharuan yang ditemui dalam lagu itu? Apabila ditanyakan soalan itu kepada Nasir, jawapan yang diterima adalah lagu itu mempunyai lirik yang penuh makna dan dihasilkan dengan penuh kejujuran.

"Kami juga menilai lagu ini menerusi cakera padat dan seperti yang saya katakan tadi, kami dapat rasakan apa yang ingin disampaikan si pencipta. Rasa itu yang penting. Lirik dan melodinya amat ringkas, namun penuh kejujuran berbanding dari yang lain," katanya.

Satu penjelasan yang amat subjektif.

Apabila memperkatakan mengenai lagu yang diangkat menjadi juara, populariti adalah salah satu daripada elemen yang harus ada. Namun, lagu Tolong Ingatkan Aku dilihat kurang popular berbanding lagu lain yang kerap diputarkan di corong radio.

Dan perkara ini diakui sendiri oleh juri.

"Mungkin lagu ini tidak popular tetapi ia ada kekuatan yang melayakkannya untuk menang," tegas Nasir sekali gus menolak elemen yang sinonim dengan lagu yang diangkat menjadi juara.

Tak kisah kemenangan dipertikai

PEMILIK nama penuh Ana Nur Hidayah Mohd Raffali ini hanya tersenyum sepanjang sidang media ini berlangsung.

Walaupun kemenangannya itu dipersoalkan, namun bagi Ana, dia sudah bersedia untuk menghadapi segala-galanya.

"Saya hanya mampu berharap untuk menang dan tak sangka ia menjadi kenyataan.
“Saya tidak kecewa apabila kemenangan lagu ini dipersoalkan. Saya sudah ikut landasan yang betul apabila menghasilkan sebuah lagu yang menepati cita rasa juri.

"Saya bersyukur kerana lagu saya dinilai barisan juri yang bukan calang-calang dan apabila Ketua Juri sendiri mempertahankan hak saya sebagai penulis, itu sudah cukup membuatkan saya gembira," kata Ana yang menujukan kemenangannya itu kepada arwah kakaknya.

Ditanya apakah yang dia mahu lakukan terhadap wang kemenangannya sebanyak RM35,000 itu, Ana berkata dia mahu mengadakan majlis kesyukuran khusus untuk mereka yang banyak membantu menaikkan namanya sepanjang dia berada di dalam industri itu.

Berada di kedudukan naib juara adalah lagu Drama King hasil ciptaan Taja dan Tun Teja dan disampaikan dengan penuh bertenaga oleh Black & meet Uncle Hussain.Manakala tempat ketiga pula disandang oleh lagu ciptaan Ajai/Shah Qalam berjudul Noktah Cinta.

Jika tahun lalu anugerah persembahan terbaik adalah milik Aizat, kali ini, kategori itu berpindah ke tangan Faizal Tahir yang mempamerkan persembahan hebat gabungan visual dan realiti menerusi lagu Hanyut.

Turut menyerlah malam itu adalah bekas bintang realiti musim ke-7, Hafiz apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik sekali gus mengenepikan saingan terdekatnya iaitu pemenang tahun lalu, Black.

Tolong Ingatkan Aku : Ana Raffali

Jangan disusun kata-kata penamat
Jangan disebut baris ayat keramat
Biar lenyap diserap sunyi
Biar senyap yang tak menyepi

Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa

Mari patahkan papan markah lama
Mari padamkan buku tiga lima
Biar luka sembuh sendiri
Biar lupa ditebus hari

Chorus
Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa
Kau dampingi aku
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Bila marah merasuk minda
Kecewa menyelubungi jiwa
Aku lupa

Ulang Chorus

Tolong ingatkan aku kisah kita
Tolong ingatkan aku
Kisah ku tersedar
Dengan kasih memeluk rasa

Tolong ingatkan
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Tolong ingatkan aku
Kisah kita
Tolong ingatkan aku
Kisah ku tersedar
Dengan kasih memeluk rasa

Kredit : http://www.bharian.com.my/

You Might Also Like:

Add your comment Hide comment

Hello, how may we help you? Just send us a message now to get assistance.

Facebook Messenger ×