RIO DE JANEIRO - Ronaldinho dirai dengan sambutan hangat kelmarin, malah jauh lebih hebat daripada apa yang diterima bekas legenda Brazil, Zico ketika dia diumumkan sebagai pemain baru Flamengo.
Lebih daripada 20,000 peminat, dihiburkan oleh penyanyi dan penari sementara mereka menunggu penuh sabar kemunculan Ronaldinho yang berpindah ke Flamengo dari AC Milan, di ibu pejabat kelab terkemuka itu.
Jumlah kehadiran itu jauh berbeza dengan mereka yang datang untuk menerima kepulangan Zico ke Rio dari Itali, pada 1985.
Ronaldinho, yang menjuarai Piala Dunia bersama Brazil pada 2002, dilihat terkejut dengan layanan sedemikian, tetapi sedar akan tanggungjawab berat yang menantinya.
Pada sidang akhbar kemudiannya, Ronaldinho menjanjikan kejuaraan sebagai pulangan kepada kelab barunya itu dan turut meluahkan keinginan untuk membantu negaranya merangkul takhta Piala Dunia keenam.
"Itulah objektif saya. Saya memutuskan untuk pulang ke Brazil atas sebab-sebab tersebut. Ramai yang pulang ke Brazil untuk melengkapkan kerjaya mereka.
"Selepas bertahun-tahun berada di luar Brazil, Piala Dunia dan Olimpik (London 2012) memberikan motivasi kepada saya untuk pulang," kata Ronaldinho buat pertama kali selaku status pemain Flamengo.
Bekas Pemain Terbaik FIFA dua kali itu, yang berada di kemuncak prestasinya ketika bersama Barcelona apabila memimpin kelab Sepanyol tersebut menjuarai Liga Juara-juara Eropah pada 2006, menandatangani kontrak empat tahun bersama Flamengo.
"Saya mahu menjulang nama Flamengo setinggi yang mungkin, menang sebanyak gelaran yang mungkin untuk membalas kepercayaan dan cinta para peminat... Saya mahu memberikan kegembiraan kepada peminat," katanya.
Kelincahan mungkin menjadi gaya permainan Ronaldinho sewaktu memuncak di Eropah, namun dia sukar merebut tempat dalam kesebelasan utama di Milan yang kemudiannya membenarkannya untuk berpindah ke Brazil.
"Sangat menakjubkan... Saya tidak jangka sambutan sebesar ini," kata Ronaldinho. - Reuters
Kredit : http://www.utusan.com.my/
Found an article helpful? Donate via Paypal
Sukan
Add your comment Hide comment